Zii Jia sedia wakili Malaysia di BATC

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengesahkan akan menyertai skuad kebangsaan bagi membawa cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang dijadual berlangsung di Shah Alam, Selangor, bulan depan.

Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ) ketika mengumumkan perkara itu di laman X, berkata peluang kedua yang diberikan kepada pemain ranking ke-11 dunia itu sudah pastinya tidak akan disia-siakan bagi menggalas tanggungjawab negara selepas tersingkir di pusingan pertama PETRONAS Terbuka Malaysia, semalam.

“Beraksi di laman sendiri sebagai pemain profesional adalah sesuatu yang sangat luar biasa.

“Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata perasaan mendengar sorakan penyokong tempatan kepada anda sepanjang perlawanan. Kejayaan yang kami harapkan pada Terbuka Malaysia kali ini tidak menjadi kenyataan.

“Sukar untuk mendapat peluang kedua terutama peluang untuk bukan sahaja beraksi di Malaysia tetapi bersama pasukan Malaysia adalah sesuatu yang tidak boleh disia-siakan.

“Jadi, kami boleh mengesahkan bahawa Lee Zii Jia dan Team LZJ dengan penuh rasa bangga menerima jemputan Persatuan Badminton Malaysia untuhk menyertai BATC yang akan datang.

“Apabila sihat dan mampu, Lee Zii Jia dan Team LZJ akan sentiasa menyahut seruan tugasan kepada negara.

“Apabila panggilan untuk tugasan negara diterima, beberapa perubahan dalam program perlu dilakukan termasuk kemungkinan perlu melupakan Terbuka Jerman.

“Terima kasih kerana masih percaya dengan Lee Zii Jia untuk mewakili Malaysia,” katanya.

Pada saingan BATC edisi 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Alam (SACC) di Shah Alam, Zii Jia turut menjadi sebahagian daripada pasukan yang mencipta sejarah muncul juara buat kali pertama selepas menewaskan Indonesia pada aksi final.

Edisi kali ini turut akan berlangsung di venue sama dijadual dari 13 hingga 18 Februari ini.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.