Warga Australia maut dipatuk ular berbisa di dunia
SYDNEY: Seorang lelaki Australia maut selepas dipatuk ular ketika cuba mengeluarkan reptilia itu daripada pusat jagaan kanak-kanak, menurut media tempatan dan perkhidmatan kecemasan, hari ini.
Paramedik di negeri timur laut Queensland yang segera datang membantu mendapati lelaki itu dalam keadaan kritikal.
Difahamkan lelaki itu dipercayai dipatuk seekor ular coklat, antara spesis paling berbisa di dunia.
Dia dibawa ke hospital Townsville dan kemudian meninggal dunia, menurut jurucakap Perkhidmatan Ambulans Queensland kepada AFP.
Kematian akibat gigitan ular jarang berlaku di Australia dengan hanya segelintir serangan maut direkodkan setiap tahun.
Kira-kira 200 dimasukkan ke hospital setiap tahun membabitkan ular coklat, menurut Institut Kesihatan dan Kebajikan Australia.
Menurut Christina Zdenek dari Akademi Reptilia Australia, mereka mempunyai kualiti antivenom yang sangat baik di Australia.
“Cara terbaik untuk merawat gigitan ular adalah dengan berdiam diri, tenang dan membalut seluruh anggota badan dengan ketat menggunakan pembalut yang tegang.
“Jangan sesekali cuba membunuh ular,” katanya.
Ular berada pada keadaan paling aktif dari September hingga Januari, kerana reptilia berdarah sejuk memanaskan badan pada musim panas di hemisfera selatan.
Sponsored by Egroup88