Wanita kudung pindah dengan bantuan APM

TUMPAT: Seorang wanita warga emas yang kudung sebelah kaki, terpaksa didukung oleh sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Tumpat untuk menaiki bot ketika dibawa keluar dari rumahnya di Kampung Naga Ibu di sini, hari ini.

Zainab Daud, 70, kudung kaki kiri sejak dua tahun lalu akibat penyakit kencing manis diselamatkan jam 2 petang tadi ketika banjir semakin meningkat hingga mencapai paras sehingga 1.5 meter (m) di perkarangan rumah.

Anaknya, Siti Nor Yusof, 30, berkata sejak dua malam lalu, dia bersama emaknya hanya tidur-tidur ayam sambil bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan kerana air dari Sungai Golok dan Rantau Panjang semakin melimpah masuk.

“Setiap tahun rumah kami akan dinaiki air dan tidak mustahil petang nanti akan melimpah sehingga ke ruang tamu kerana setakat ini di bahagian dapur sudah mencecah satu meter.

“Saya risaukan keselamatan emak termasuk empat anak saya yang berusia dua hingga lapan tahun kerana air masih dalam trend meningkat walaupun secara perlahan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Siti Nor berkata, dia sudah membawa segala ubat serta peralatan perubatan ibunya termasuk untuk mencuci luka tiga jari kaki kanan ibunya yang turut dijangkiti kuman akibat kencing manis.

Beliau berkata, ibunya yang tidak berupaya berjalan, perlu diangkat untuk bergerak termasuk ke tandas tapi apabila berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), warga emas itu terpaksa dipakaikan lampin pakai buang untuk kemudahan.

“Suami saya bertugas sebagai tentera di Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu dan malam kelmarin baru kembali ke kem kerana turut terbabit dengan penugasan banjir.

“Memang setiap tahun kami terpaksa berlindung di PPS kerana lokasi rumah sangat dekat dengan Sungai Golok dan kampung ini antara yang terawal dinaiki air,” katanya.

Bapanya, Yusof Ahmad, 72, tidak berpindah ke PPS, sebaliknya bertahan tinggal di rumah mereka bagi menjaga lembu ternakan serta keselamatan kediaman mereka.

Yusof berkata, 12 lembu peliharaannya perlu diberi makan dan jika semua ahli keluarga berpindah, sudah pasti ternakan itu kelaparan dan mungkin juga hilang.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.