United masih goyah, Spurs mampu lakar kejutan
TOTTENHAM mengintai peluang untuk menewaskan Manchester United awal pagi Ahad ini pada perlawanan pertama mereka di gelanggang sendiri sejak ketiadaan Harry Kane.
Spurs memulakan era baharu hujung minggu lalu tanpa Kane di bahagian serangan dan dengan Ange Postecoglou mengendalikan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama ketika seri 2-2 di Brentford.
Bahang bakal dirasai pengerusi kelab Daniel Levy ketika Tottenham kembali ke laman sendiri buat julung kali musim ini.
Bantahan dirancang peminat yang tidak berpuas hati dengan perpindahan Kane ke Bayern Munich apatah lagi harga tiket dinaikkan 20 peratus.
“Kami dikenakan bayaran tiket antara yang paling mahal dalam EPL dan Eropah oleh satu daripada kelab terkaya di Eropah. Ia satu eksploitasi terhadap kesetiaan peminat,” kata Tottenham Hotspur Supporters’ Trust.
United memulakan kempen mereka dengan kemenangan 1-0 ke atas Wolves, namun keputusan itu tidak menggambarkan cerita sebenar.
Pelawat menghasilkan percubaan paling banyak oleh pasukan lawan di Old Trafford sejak 2005 dalam persembahan penuh dominasi dan dinafikan sepakan penalti pada masa kecederaan apabila penjaga gol United, Andre Onana menumbuk Sasa Kalajdzic hingga jatuh ketika dia cuba menangani satu hantaran silang.
United sekali lagi perlu bermula tanpa penyerang baharu Rasmus Hojlund kerana kecederaan belakang dan Erik ten Hag berdepan kemelut sama ada untuk mengekalkan pemain baharu Mason Mount di samping kapten Bruno Fernandes di bahagian tengah.
Selain Tottenham-United, juara bertahan Manchester City menguji pasukan tangga keempat musim lalu Newcastle di Etihad manakala pemain baharu Chelsea, Moises Caicedo dijangka membuat penampilan sulung di West Ham.
Newcastle muncul pendahulu minggu pertama EPL menerusi perbezaan gol apabila mereka dengan yakin membenam Aston Villa 5-1 di laman sendiri minggu lalu namun perlu bertindak lebih berkesan jika bercita-cita mahu mengejutkan City, yang mungkin keletihan selepas memenangi Piala Super UEFA pada pertengahan minggu.
Liverpool, yang seri 1-1 dengan Chelsea minggu lalu, melayan kunjungan Bournemouth dan dijangka meraih kemenangan pertama musim ini sekalipun Jurgen Klopp masih berdepan masalah di bahagian tengah dengan hanya memiliki dua pemain tengah menyerang.
Arsenal, yang menang tipis 2-1 ke atas Nottingham Forest minggu lalu, perlu lebih tajam di bahagian serangan menentang Crystal Palace di Selhurst Park. Palace antara tujuh pasukan yang mengutip tiga mata pada minggu pertama musim baharu 2023-24.
RAMALAN EPL MINGGU INI
Fulham 0-2 Brentford
Liverpool 3-1 Bournemouth
Wolves 1-2 Brighton
Tottenham 2-1 Manchester United
Manchester City 3-2 Newcastle
Aston Villa 3-1 Everton
West Ham 1-3 Chelsea
Crystal Palace 1-2 Arsenal
Sponsored by Egroup88