UMNO berpeluang rampas semula kawasan FELDA
Kuala Lumpur: Generasi FELDA yakin tanah rancangan mereka masih menjadi kubu kuat UMNO dan kawasan yang tumpas kepada parti lain pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), mampu ditawan semula kali ini.
Pengerusi Majlis Belia FELDA Wilayah Raja Alias, Tauw Fek Maslam, berkata ini kerana ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebelum ini, banyak manfaat dan bantuan diperoleh peneroka FELDA selama ini ditarik balik.
Beliau berkata, PH sebelum ini membatalkan bantuan musim tengkujuh yang diterima peneroka FELDA dan tindakan berkenaan menyebabkan kemarahan peneroka.
“Jadi inilah peluang terbesar UMNO untuk kembali menawan semula kawasan yang tumpas dengan terus menjaga kebajikan dan ekonomi peneroka FELDA terutama membabitkan harga komoditi,” katanya kepada BH.
Mengenai corak pemilihan wakil rakyat pula, Tauw Fek berkata, peneroka pasti melihat parti terlebih dulu iaitu UMNO dan seterusnya sama ada calon mampu bekerja untuk rakyat dan parti.
Namun, katanya, masyarakat FELDA mengharapkan orang tempatan mewakili mereka.
“Peneroka FELDA agak sensitif apabila orang luar yang menjadi wakil kerana mereka tidak memahami masalah yang kami hadapi.
“Jika peneroka tidak bersetuju dengan calon, perkara itu akan tetap disuarakan kepada pucuk pimpinan supaya menukar calon terbabit.
“Kami mahu warga tempatan yang sanggup menjaga kebajikan kami dan parti, bukan muncul ketika musim pilihan raya saja,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata warga FELDA sentiasa istimewa dan akan terus ‘dijaga’ kerajaan, termasuk generasi kedua tanah rancangan berkenaan.
Beliau dilaporkan berkata, pelbagai insentif yang diberikan kerajaan kepada warga FELDA sejak awal penubuhan tanah rancangan itu lagi, mencerminkan betapa istimewanya warga FELDA kepada kerajaan.
Sementara itu, Pengerusi Belia Kawasan FELDA Jelai, Adib Abu Bakar mengakui, setakat ini kawasan FELDA masih kubu kuat UMNO berdasarkan sokongan akar umbi parti itu sejak generasi pertama FELDA.
Bagaimanapun, katanya, dengan pelaksanaan Undi18 yang menjadi platform untuk anak muda mengundi, dijangka semua parti mempunyai peluang untuk menang di kawasan FELDA.
“Namun, peneroka FELDA biasanya akan memilih calon yang sudah bekerja kuat dari awal lagi iaitu sebelum PRU15 lagi.
“Paling penting dan sudah menjadi kepastian adalah peneroka FELDA akan memilih calon tempatan,” katanya.
Beliau berkata, usaha meraih undi peneroka pula perlu berdasarkan calon itu sendiri dan kekuatan yang ada pada dirinya.
“Calon mesti orang setempat yang memang sudah menabur bakti dari awal lagi dan biasanya daripada golongan pemimpin setempat jika di kawasan FELDA,” katanya.
Sponsored by Egroup88