Ulama Al-Azhar puji Malaysia model contoh negara majmuk
KUALA LUMPUR: Ilmuwan dan ulama besar Ahli Sunnah Waljamaah, Al-Imam Al-Akbar Sheikh Prof Dr Mohammad Ahmad Tayyib memuji Malaysia sebagai model negara majmuk.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, menerima penghargaan dan ucapan tahniah daripada Sheikh Al-Azhar itu sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-66, hari ini.
Mohammad adalah pengerusi Muslim Council of Elders manakala Zulkifli adalah anggota majlis penasihat yang berpusat di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Saya dengan penuh suka cita ingin memaklumkan ucapan tahniah oleh Syeikhul Azhar al-Imam al-Akbar Prof D (Mohammad) Ahmad Tayyib kepada rakyat Malaysia sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 hari ini.
“Melalui pejabat Muslim Council of Elders berpusat di UAE) yang dipengerusikannya, saya dimaklumkan beliau turut menzahirkan pujian kepada Malaysia sebagai model negara kepelbagaian bangsa, subur dengan dialog antara agama, menghargai semangat kewujudan bersama dan saling hormat-menghormati.
“Muslim Council of Elders turut mendoakan Malaysia terus maju, makmur, maju dan aman sentosa,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Untuk rekod, Mohammad adalah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2020 yang menerima anugerah berprestij berkenaan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sponsored by Egroup88