UDA lancar Wakaf Seetee Aisah 2

KUALA LUMPUR: UDA Holdings Bhd (UDA) terus memacu pembangunan hartanah wakaf di Pulau Pinang menerusi pelancaran projek terbaharu, Wakaf Seetee Aisah 2.

Projek yang terletak di Bandar Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah, itu adalah pembangunan bercampur yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 7.23 ekar dan bakal menyediakan 611 unit kediaman serta komersial.

Ia hasil kerjasama strategik UDA yang juga syarikat pemaju hartanah, pengurusan aset, fasiliti, perhotelan serta agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), selaku pemegang amanah tanah terbabit.

Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata pihaknya selaku peneraju pembangunan hartanah wakaf akan terus mempergiat sektor berkenaan selari dengan fokus utamanya iaitu menggalakkan pemilikan hartanah khususnya di bandar.

“Usaha ini juga dapat meningkatkan nilai tanah wakaf serta menjana hasil positif seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi umat Islam di Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan.

Wakaf Seetee Aisah 2 terbahagi kepada tiga fasa merangkumi 150 unit pangsapuri kos rendah iaitu kediaman asnaf (Fasa 1), 422 unit kondominium (Fasa 2) dan 32 unit lot kedai empat tingkat serta satu blok bangunan pejabat tujuh tingkat, surau dan dewan konvensyen (Fasa 3).

Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM187 juta itu bakal dilancarkan pada Jun tahun ini (Fasa 1 & 2) dan awal tahun depan (Fasa 3).

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr Mohd Salem Kailany, berkata usaha ini selari dengan fokus pihaknya iaitu memperkasakan ummah menerusi pembangunan tanah wakaf di kawasan bandar yang strategik.

Katanya, inisiatif ini juga diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung industri pembangunan hartanah wakaf yang berpotensi tinggi serta mampu menjana pendapatan bagi menyokong ekonomi ummah.

“Wakaf Seetee Aisah 2 dibangunkan di atas tanah wakaf, maka ia berkonsepkan sewa pajak dengan MAINPP selama 99 tahun dan hanya dibuka kepada orang Islam.

“Kondominium (422 unit) dengan keluasan 950 kaki persegi ke 1,100 kaki persegi boleh dimiliki dengan harga bermula RM299,000 dan ke atas sesuai untuk kediaman keluarga baharu mahupun pelaburan di masa hadapan.

“Harga yang ditawarkan ini adalah 30 peratus lebih rendah berbanding harga hartanah semasa,” katanya.

Projek Wakaf Seetee Aisah 2 terletak di lokasi strategik dengan jarak beberapa minit ke Lebuhraya Utara-Selatan, Jambatan Pulau Pinang, Jalan Lingkaran Luar Butterworth dan Terminal Feri Butterworth.

Selain itu, ia terletak berhampiran dengan pusat pentadbiran dan

perindustrian Seberang Perai serta dikelilingi pelbagai kemudahan seperti hospital, sekolah, institusi pengajian tinggi, pusat beli-belah dan rangkaian hotel terkemuka.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.