Tukar pengerusi untuk bangunkan semula kekuatan UMNO
JOHOR BAHRU: Peralihan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dibuat bagi merawat dan membangunkan semula kekuatan UMNO dan bukan untuk menguatkan mana-mana kelompok atau kumpulan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang dilantik mengambil alih jawatan itu daripada Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata peralihan jawatan itu bertujuan memastikan perpaduan dan kesatuan UMNO Johor tetap terpelihara.
“Ini satu tanggungjawab yang sangat berat dan saya berterima kasih atas kepercayaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi. Keutamaan saya ialah untuk memastikan perpaduan dan kesatuan UMNO Johor tetap terpelihara.
“Bukan sesekali untuk menguatkan mana-mana kelompok dan kumpulan, tetapi memulih, merawat dan membangunkan semula kekuatan UMNO,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, sudah menjadi adat berpolitik, pasti ada badai dan geloranya.
“Terimalah ia sebagai pasang surut dalam perjuangan dan akan ada hikmah terpenting daripada keputusan ini.
“Saya menyeru semua pemimpin UMNO Johor bertaut kembali dan bermuafakat demi kelangsungan parti.
“Saya tidak akan menyisih dan meminggirkan sesiapa. Bagi saya, semua adalah sahabat dan keluarga besar UMNO Johor, yang akan dirai dan dihargai,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menggantikan Hasni, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut.
Mohamed Khaled, yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, beliau sangat menghargai sumbangan besar Hasni terhadap UMNO Johor dan akan meneruskan kerja baik yang dilaksanakan pemimpin itu.
Sponsored by Egroup88