‘Tuduhan Guan Eng terhadap PAS dangkal, pecah belah rakyat pelbagai kaum’ – PAS
Lim Guan Eng (kiri) dan Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin.

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan tuduhan dangkal Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, yang menolak perdana menteri dari parti itu, selain melabelnya sebagai rasis bukan sahaja tidak berasas, malah sengaja mahu memecahbelahkan perpaduan kaum dalam negara.

Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata kenyataan Guan Eng menunjukkan betapa sikap rasis dalam kalangan pemimpin DAP.

“Tuduhan sesat lagi menyesatkan Guan Eng, kononnya PAS ialah parti rasis dan Malaysia akan lenyap jika perdana menteri PAS berkuasa, cukup membuktikan betapa dangkalnya parti chauvinis berkenaan.

“Sebaliknya, DAP jelas memiliki rekod buruk lagi hina dalam isu membabitkan Islam dan masyarakat Melayu di Malaysia. Antaranya perlembagaan DAP sendiri jelas menyebut dalam Perkara 2, matlamat-matlamat DAP adalah untuk “mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja ‘sekular’ yang asal.”

“Hal ini sahaja membuka pekung dada DAP yang cukup anti kepada Islam dan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, mendakwa pemimpin PAS membawa naratif perkauman dan ekstremis yang menjejaskan pendirian berbilang agama dan budaya Malaysia dengan mendahulukan umat Islam.

Guan Eng turut berkata perdana menteri dari PAS akan memecahkan Malaysia dan menimbulkan senario mimpi ngeri bagi bukan Islam dan bukan Bumiputera, kerana bukan berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia tetapi hanya untuk orang Islam.

Khairil Nizam berkata, DAP juga tidak pernah menyembunyikan yang mereka menolak cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (RUU 355) dengan pelbagai alasan, sedangkan ia sekadar mahu meningkatkan kadar hukuman yang boleh dikenakan ke atas penganut Islam atas kesalahan syariah sahaja.

“Sejarah membuktikan ketika berkuasa melalui PH, DAP kuat menyokong supaya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diratifikasi, langkah yang jelas bakal mengganggu gugat keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum sejak merdeka hingga ke hari ini.

“Lim Kit Siang turut menuduh khutbah Jumaat disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) sebagai menyebarkan kebencian dan mencabar usaha ke arah keharmonian,” katanya yang menegaskan perbuatan disifatkan rasis yang disenaraikan itu hanya sebahagian daripada pelbagai lagi tindakan sedemikian.

Sehubungan itu, tegasnya, seluruh rakyat Malaysia pelbagai kaum wajib menolak parti yang mengamalkan rasis dan sering memecahbelahkan Keluarga Malaysia.

Katanya, DAP perlu ditolak sepenuhnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.