Tindakan pantas LUAS sekat aliran susu getah tumpah elak LRA henti tugas
Muatan susu getah yang tumpah susulan kemalangan sebuah lori tangki di Kilometer 383.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dari Slim River ke Behrang, hari ini.

HULU SELANGOR: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan kerjasama agensi berkaitan menghalang pencemaran susu getah yang tumpah daripada lori di Kilometer 383.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dari Slim River ke Behrang, di sini, berjaya mengelakkan Loji Rawatan Air (LRA) Bernam River Headworks (BRH) dihenti tugas.

LUAS dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan susu getah pada jam 6.30 pagi tadi.

Katanya, situasi di lokasi kejadian terkawal susulan PLUS mengambil tindakan kawalan dengan menyekat aliran untuk memastikan lebihan susu getah yang tumpah tidak memasuki longkang berhampiran, seterusnya mengalir ke Sungai Behrang.

“LUAS membuat pemeriksaan segera di kawasan kejadian melalui pensampelan dan didapati tiada bahan pencemar (latex) terlepas keluar daripada kawalan yang dibuat pihak PLUS.

“LUAS juga menyelaraskan tindakan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak berikutan lokasi insiden berada di sempadan Perak dan melepasi Selangor untuk tindakan pembersihan (kerja penyedutan) sisa,” katanya.

LUAS berkata, kerja pembersihan dilakukan bagi mengelak pencemaran lebih besar dan berkemungkinan akan menjejaskan operasi LRA BRH.

“Kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang gangguan kepada LRA BRH.

“Bagaimanapun, kerja pembersihan akan dibuat secara menyeluruh di kawasan terbabit oleh syarikat kontraktor yang dilantik lori tangki yang membawa muatan susu getah yang turut dipantau LUAS,” katanya.

Sehubungan itu, LUAS akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada kesan signifikan kepada sumber air di Selangor.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.