Tiada wang baiki atap rumah kena ribut, tidur dalam kereta

JOHOR BAHRU: “Saya tiada duit simpanan untuk ganti bumbung baharu selepas ribut minggu lalu, saya memang menunggu duit bantuan (kerajaan negeri),” luah Fatimah Mohd Shah, 43.

Fatimah antara penduduk Kampung Melayu Majidee di sini yang terjejas akibat ribut 3 Mei lalu.

Dalam kejadian itu, 176 kediaman penduduk rosak, selain warung, kedai makan akibat pokok tumbang dan atap yang diterbangkan angin.

Fatimah yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, rumah pusaka yang didiami bersama sepupunya, Liza Wati A Ghani, 36, di Jalan Setia kampung itu rosak teruk apabila hampir keseluruhan bumbung diterbangkan ribut.

“Seratus peratus bumbung rumah ini diterbangkan ribut kecuali bumbung tandas sahaja yang ada.

“Kami sudah biasa duduk rumah sendiri, balik kerja mesti pulang ke rumah berehat, jadi tidak selesa duduk dewan. Buat sementara ini kami menumpang rumah rakan sekerja atau rumah saudara dan apabila waktu singkat kami tidur dalam kereta sahaja,” katanya ditemui hari ini.

Sepupunya, Liza yang bekerja sebagai penghantar barang berkata, dia berharap bantuan kewangan kerajaan negeri dapat disegerakan.

Bagi warga emas, Lijah Kassim, 73, bumbung bahagian dapur kediamannya sudah dibaiki dengan kos RM4,000 hasil bantuan anak-anak.

“Sehari selepas kejadian, anak upah orang pasang bumbung. Alhamdulillah sekarang ini tunggu bantuan (kerajaan negeri) sahaja,” katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Yayasan Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Datuk Yahya Jaafar memaklumkan, bantuan yang dijanjikan akan diserahkan dalam satu majlis petang esok.

“Bantuan akan disampaikan Yayasan MBJB, Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Pejabat Menteri Besar Johor kepada ketua keluarga mangsa ribut,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.