Thailand selamatkan 900 rakyat China mangsa penipuan
BANGKOK: Thailand menyelamatkan kira-kira 900 warga China mangsa skim penipuan di sebuah bandar dekat sempadan Myanmar, minggu lalu.
Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, hari ini memaklumkan mangsa yang diselamatkan itu dijadual dihantar pulang ke negara asal mereka.
Myanmar antara negara Asia Tenggara yang menjadi hab penipuan dalam talian.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ratusan ribu orang diperdagang oleh kumpulan jenayah selain dipaksa bekerja di pusat penipuan serta operasi haram lain.
Menurut Polis Thailand, operasi yang bermula Khamis lalu selesai semalam, meliputi urusan membawa warga China dari bandar Myawaddy di Myanmar ke lapangan terbang di Mae Sot, sebuah daerah di sempadan Thailand.
Mengulas lanjut, Srettha berkata, operasi bersepadu dijalankan dengan kerjasama tiga negara iaitu China, Myanmar dan Thailand.
“Proses dilakukan secara sukarela berdasarkan prinsip kemanusiaan. Ia tidak dipaksa,” katanya sambil menambah Kerajaan Thailand memudahkan urusan penghantaran mangsa untuk menaiki penerbangan di Mae Sot.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Thailand, Surachae Hakparn, berkata operasi penghantaran pulang mangsa penipuan warga China mengambil masa tiga hari.
Kementerian Luar China tidak mahu memberi respon termasuk tentera Myanmar.
November tahun lalu, pihak berkuasa Myanmar menyerahkan 31,000 suspek penipuan telekomunikasi kepada China dalam usaha bersama membanteras skim penipuan dalam talian di Myanmar.
China dan Myanmar juga membantu memudahkan proses penghantaran pulang lebih 200 warga Thailand ke negara asal mereka, yang mana terperangkap dalam pertempuran antara tentera Myanmar dan kumpul etnik minoriti bersenjata di Laukkaing dekat utara Shan, Myanmar.
Sponsored by Egroup88