Thailand kerah jet pejuang selepas Myanmar langgar ruang udara
Thailand mengerahkan dua jet pejuang F-16 apabila radar mengesan pesawat di ruang udara Thailand berhampiran sempadan Myanmar.

BANGKOK: Thailand mengerahkan jet pejuangnya berhampiran sempadan Myanmar dan memerintahkan atase pertahanannya untuk mengeluarkan amaran kepada kerajaan tentera.

Perkara itu dimaklumkan tentera udara, berhubung pelanggaran ruang udara ketika operasi pertempuran.

Menurut jurucakap tentera udara, Naib Marshal Udara, Prapat Sonjaidee, dua jet pejuang F-16 dikerahkan apabila radar mengesan pesawat di ruang udara Thailand berhampiran sempadan Myanmar.

“Pesawat daripada pihak tidak dikenali melanggar sempadan di daerah Phop Phra di wilyah Tak, dengan menyerang kumpulan etnik bersenjata berhampiran sempadan,” katanya.

Tentera Myanmar meningkatkan operasi menentang tentera etnik minoriti sejak rampasan kuasa tahun lalu dan berdepan tentangan dari pelbagai sudut, antaranya musuh lama dan kumpulan militan yang baru ditubuhkan serta bersekutu dengan kerajaan yang digulingkan.

Aktivis dan kumpulan bantuan mengutuk penggunaan meriam dan serangan udara oleh junta di kawasan awam.

Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), minggu ini menganggarkan hampir 760,000 orang telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik di seluruh Myanmar sejak rampasan kuasa.

Seorang saksi di Thailand memberitahu Reuters sebuah jet pejuang dilihat di atas dua kampung kira-kira 5 kilometer dari sempadan, mencetuskan panik dalam kalangan penduduk, dengan sebuah sekolah menghantar pelajarnya ke tempat perlindungan bom.

Tentera udara Thailand berkata, salah seorang atasenya di Yangon sudah diarahkan untuk memberi amaran kepada agensi berkaitan di Myanmar dan meminta mereka mencegah pelanggaran pada masa depan.

Pihak berkuasa Thailand, berkata hampir 300 orang melarikan diri daripada peningkatan operasi ketenteraan di Myanmar sejak beberapa hari lalu.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.