Tentera laut India pintas kapal lanun berhampiran Somalia

NEW DELHI: Tentera laut India dilaporkan memintas sebuah kapal nelayan yang disyaki di Laut Arab dalam operasi anti-lanun terbarunya selepas beberapa serangan serantau berlaku ke atas perkapalan.

Dua kapal India menghampiri FV Al Kamar 786 berbendera Iran sekitar 165 kilometer barat daya pulau Socotra di Yaman, tidak jauh dari hujung timur Somalia.

“Satu operasi sedang dijalankan oleh Tentera Laut India bagi menyelamatkan FV yang dirampas dan anak kapalnya,” kata tentera laut dalam satu kenyataan yang disiarkan di X.

Kenyataan itu menambah, sembilan lanun bersenjata dipercayai mengambil alih kapal itu, bagaimanapun tidak dinyatakan berapa ramai anak kapal yang berada di dalamnya.

Tentera laut India dikerahkan secara berterusan di luar Somalia sejak 2008 dan usaha anti-lanun ditingkatkan tahun lalu berikutan lonjakan dalam serangan maritim, termasuk di Laut Arab dan pemberontak Huthi yang disokong Iran di Laut Merah Yaman.

Bulan ini, tentera laut India menyelamatkan 19 anak kapal dari kapal kargo berbendera Malta MV Ruen, yang dirampas oleh lanun Somalia pada bulan Disember.

Semalam, ia membawa 35 warga Somalia yang dituduh melakukan rampasan ke Mumbai menaiki kapal perang INS Kolkata, yang mengetuai operasi menyelamat, untuk menghadapi perbicaraan lanun di mahkamah India. 

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.