Tengku Zafrul sertai misi menyelamat, tinjau bantuan
SHAH ALAM: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam meninjau dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di sekitar Kampung Kebun dan Taman Sri Muda di bandar raya ini.
Beliau melakukan lawatan dan kerja menyelamat bersama sukarelawan dan pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang termasuk membawa mangsa banjir keluar dari kediaman mereka yang terjejas ke Pusat Penempatan Sementara (PPS).
Selain itu, mereka juga membawa barang-barang keperluan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir.
Tengku Zafrul turut melawat Kuarters Balai Polis Sri Muda bagi memberi bantuan makanan dan melawat pusat penempatan sementara di SK Jalan Kebun yang dijadikan PPS.
Beliau turut meninjau keperluan tambahan yang perlu disediakan kepada mangsa banjir dan penambahbaikan yang perlu disediakan bagi memberi keselesaan kepada orang ramai yang ditempatkan di pusat itu.