Temui KP JPN, Halim kekal nama anak ‘binti Abdullah’
KUALA LUMPUR: Pengacara dan bekas penyampai radio, Halim Othman, 56, akhirnya sepakat dengan anaknya, Myra Natasya, 27, untuk mengekalkan ‘binti Abdullah’ dan tidak menukarkan kepada Halim.
Halim berkata, keputusan itu dibuat selepas perjumpaannya bersama Ketua Pengarah, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh di Putrajaya pada 26 April lalu.
Justeru itu, Halim berharap agar isu anaknya yang ‘berbintikan’ Abdullah sudah selesai.
“Selepas berbincang dan mendengar penerangan Ruslin berhubung masalah saya sudah tidak mempunyai dokumen perkahwinan, kami memutuskan untuk mengekalkan ‘binti Abdullah’.
“Sebenarnya, isu ini bukan kes terpencil kerana banyak orang berhadapan situasi seperti ini. Jadi, keterangan diperoleh dan saya pun sudah berbincang dengan Myra, jadi, akhirnya kami sepakat mengekalkan nama Yusmyra Natasya Binti Abdullah.
“Ini kerana kami mengambil kira beberapa aspek iaitu kesulitan jika nak buat pertukaran nama bapa, termasuk nak teruskan hidup. Paling utama, saya percaya ada hikmah besar di sebalik nama Abdullah,” katanya kepada BH Online.
Tambah Halim, pertemuan itu membuatkannya terharu kerana pihak JPN sudi membantu menyelesaikan isu dialami anak tunggalnya yang juga seorang pengacara dan pelakon.
Justeru, kata Halim, dia menasihatkan kepada pasangan yang bernikah di Thailand supaya mendaftar perkahwinan dalam negara agar tidak berhadapan isu sepertinya.
“Walau perkahwinan dibina bermasalah, pergilah jumpa pihak JPN untuk mendapatkan kaunseling, nasihat dan penjelasan lanjut. Ini penting kerana sekiranya ada anak tidaklah akan menjadi isu seperti kes saya.
“Tidak perlu rasa malu, takut ditangkap pihak JPN atau sebagainya kerana mereka tidak akan menangkap kita, sebaliknya membantu menyelesaikan masalah dialami.
“Mendaftarkan perkahwinan penting agar tidak memberi stigma kepada keluarga terutama anak nanti,” katanya.
Selain itu, Halim berkata, pasangan yang bernikah di Thailand juga harus peka dan jangan sesekali mengambil jalan singkat.
Tambah Halim, rakyat Malaysia berhadapan dengan perkara seumpamanya tidak perlu takut bersemuka dengan pihak JPN.
Terdahulu, Halim akhirnya membuat pengakuan Myra Natasya Abdullah adalah anak tunggalnya bersama bekas isteri, Yusnita Omar, 47, apabila mereka berkahwin di Thailand pada 1994.
Bagaimanapun, katanya, tidak sampai setahun rumah tangga dibina berantakan. Jadi, Halim dan bekas isteri membawa haluan masing-masing.
Namun, Myra lahir pada 1995. Disebabkan kerjaya Halim dalam bidang hiburan baharu bermula dan amat sibuk, jadi urusan perceraian dapat diselesaikan di Thailand pada 1998 selepas Myra berusia tiga tahun.
Sponsored by Egroup88