Tempoh diskaun saman trafik hingga 31 Disember

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan tempoh diskaun untuk bayaran kompaun saman trafik yang dijadualkan berakhir tengah malam ini dilanjutkan hingga 31 Disember ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata pelanjutan tempoh bayaran kompaun saman itu diberikan untuk memberi peluang kepada orang ramai mengambil kesempatan menjelaskan saman mereka.

“Disebabkan sambutan yang menggalakkan sama ada di kaunter bayaran saman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Kontinjen di seluruh negara, maka kita memutuskan untuk melanjutkan tempoh kompaun bayaran saman.

“Setakat ini sebanyak 2.3 juta saman sudah diselesaikan oleh orang ramai,” katanya dalam sidang media di Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di sini.

Acryl Sani berkata, setakat ini sebanyak RM109 juta dikutip daripada tawaran diskaun kompaun saman trafik oleh PDRM sejak Khamis lalu.

“PDRM juga sedia maklum berhubung kesesakan di kaunter bayaran saman serta kesesakan pembayaran secara dalam talian pada waktu puncak. Justeru, dengan tempoh yang dilanjutkan ini orang ramai mempunyai masa yang panjang untuk menjelaskan saman tertunggak mereka.

“Saya juga sudah meminta Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) untuk melihat sekiranya ada keperluan bagi menambah kaunter bayaran saman di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontenjen (IPK) seluruh negara,” katanya.

Ini bagi memudahkan orang ramai mengambil kesempatan menjelaskan saman mereka di kaunter yang disediakan tanpa perlu bersesak-sesak.

Acryl berkata tawaran diskaun kompaun bayaran saman adalah salah satu inisiatif PDRM untuk meringankan beban masyarakat yang terkesan akibat pandemik COVID-19, menjelaskan saman mereka.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.