Tasha bersalin anak kedua secara pembedahan esok
KUALA LUMPUR: Pelakon, Tasha Shilla bakal melahirkan cahaya mata kedua, esok secara pembedahan.
Istimewanya, Tasha mendedahkan, dia bakal dikurniakan anak perempuan yang sudah dipilih nama iaitu Nayla.
Tasha atau nama sebenar, Natasha Sheila Abdul Razak, 35, yang kini sarat hamil gembira dikurniakan sepasang cahaya mata dan bersifat terbuka berkongsi meskipun bayi belum lahir.
“Alhamdulillah, kandungan sudah mencecah 38 minggu. Insya-Allah, saya akan melahirkan anak kedua secara pembedahan, esok.
“Saya bersyukur dikurniakan sepasang cahaya mata. Saya nak sangat anak kembar lelaki dan perempuan.
“Bila ada rezeki dapat anak perempuan, saya sangat teruja dan nama pun sudah dipilih awal. Saya dan suami memang tak panggil ‘baby’, sebaliknya memanggil nama yang diletakkan.
“Dari anak pertama, Raees sehingga anak kedua memang kami panggil nama. Kami juga tiada masalah dalam berkongsi sebab saya akan bersalin, esok,” katanya kepada BH Online.
Tasha ditemui di majlis pertunjukan fesyen sempena sambutan Plie Malaysia di sebuah premis acara di Eco City, baru-baru ini.
Terdahulu, Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2011 itu melahirkan anak pertama, Raees Zander yang kini berusia setahun lima bulan.
Tasha dan suami, Muhammad Atiq Idris mendirikan rumah tangga pada 28 Februari 2020.
Sementara itu, mengulas prinsipnya sama ada terbuka dalam berkongsi wajah anak atau tidak, Tasha tidak merasakan perkongsian wajah anak satu perkara tidak baik.
Namun, kata Tasha, dia tetap menghormati rakan selebriti lain yang tidak mahu berkongsi wajah anak.
“Saya seorang yang santai dan mudah. Saya merasakan kalau benda baik, saya akan kongsi.
“Sekiranya sesuatu perkara boleh membuatkan seseorang gembira, mengapa tidak?
“Niat saya mahu berkongsi kegembiraan dan saya juga mendoakan mereka melihat juga dapat kegembiraan sama.
“Bagi saya, kita semua berhak bahagia. Tetapi, jika orang lain tak mahu berkongsi, saya nak komen
“Itu hak masing-masing. Sekarang saya fokus pada diri saya, tak kisah dunia luar sebab saya memang tiada masa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Tasha fokus pada keluarga terlebih dahulu sebelum kembali aktif berlakon.
“Apapun, keluarga diutamakan. Dahulu nak keluar rumah, ikut suka sahaja.
“Sekarang, saya sudah memiliki suami dan anak. Jadi, saya kena fikir keluarga, barulah diri sendiri,” katanya yang kali terakhir berlakon menerusi telefilem Ayahanda Ibrah Ramadan, Mei lalu.
Sponsored by Egroup88