Tarian Nora dari selatan Thailand dapat status warisan UNESCO

NARATHIWAT: Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) hari ini secara rasminya mengiktiraf status tarian Nora dari Thailand sebagai Warisan Budaya Turun Temurun.

Langkah itu berpotensi untuk membawa lebih banyak pengiktirafan global kepada tarian yang biasanya hanya dipersembahkan dalam perhimpunan kecil di kampung khususnya di selatan Thailand.

Tarian Nora atau Menora adalah dramatari atau taridra masyarakat Thailand di Segenting Kra dan turut mendapat sambutan di Semenanjung Malaysia terutama di Kelantan, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang suatu ketika dulu.

Bagaimanapun, ia tidak begitu mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat moden di Malaysia dan pernah diharamkan di Kelantan bersama wayang kulit dan makyong oleh kerajaan negeri dipimpin PAS pada 1991.

Drama tari nora menampilkan penarinya beraksi dalam bulatan dengan busana dilengkapi manik serta gerakan unik seakan burung.

Seni persembahan yang menggabungkan tarian, nyanyian dan penceritaan yang bermula di India itu diamalkan sejak berabad lamanya di wilayah selatan Thailand yang majoriti dihuni penduduk beragama Islam.

Kebiasaannya, penceritaan dalam seni tari ini menampilkan kisah putera tempatan yang cuba menyelamatkan Manora, iaitu seorang puteri separuh manusia separuh burung, yang namanya turut diabadikan dalam tarian tradisional berkenaan.

Persembahan dengan penceritaan yang panjang boleh memakan masa sehingga tiga hari.

Penggiat tarian itu, Saman Dosormi, yang juga lulusan seni persembahan berdekatan wilayah Yala, berkata tarian itu menonjolkan ‘perkongsian budaya’ penduduk wilayah selatan yang beragama Buddha dan etnik Melayu Islam.

“Tidak kira sama ada anda beragama Buddha, Islam atau Kristian, sesiapa saja boleh mempersembahkan tarian ini.

“Saya sangat gembira (mengenai penyenaraian UNESCO) dan berharap semua seni budaya Thai diiktiraf oleh dunia,” katanya.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.