Taiwan enggan terima campur tangan China tentukan masa depan
TAIPEI: Taiwan bertegas tidak akan sekali-kali membenarkan China ‘campur tangan’ mengenai masa depan pulau itu susulan kenyataan jurucakap kerajaan China bahawa Beijing bersedia melakukan usaha terbaik untuk ‘penyatuan semula’ secara aman.
China sebelum ini menjalankan latihan ketenteraan berhampiran Taiwan sejak awal bulan lalu, selepas Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi melawat Taipei. Ia termasuk menembak peluru berpandu ke perairan berhampiran pulau itu, tetapi ktiviti itu sudah berkurangan.
Jurucakap Pejabat Hal Ehwal Taiwan China, Ma Xiaoguang, dalam sidang akhbar di Beijing menjelang kongres Parti Komunis berkata, China bersedia melakukan usaha terbaik untuk mencapai ‘penyatuan semula’ secara aman.
“Tanah air mesti disatukan semula dan pasti akan disatukan semula,” kata Xiaoguang.
Majlis Hal Ehwal Tanah Besar Taiwan pula berkata, masa depan pulau itu adalah terpulang kepada 23 juta penduduknya untuk membuat keputusan.
“Kita tidak membenarkan sebarang campur tangan di seberang Selat Taiwan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata majlis itu lagi, China menggunakan latihan ketenteraan haram dan tindakan balas undang-undang dan ekonomi bagi memaksa rakyat Taiwan dan ia dilabelkan sebagai tingkah laku Beijing yang ‘keji’.
China sebelum ini mencadangkan model ‘satu negara, dua sistem’ untuk Taiwan, serupa dengan formula di Hong Kong.
Xiaoguang berkata, Taiwan boleh mempunyai ‘sistem sosial yang berbeza daripada tanah besar’ yang memastikan cara hidup mereka dihormati, termasuk kebebasan beragama, tetapi ia ‘di bawah prasyarat untuk memastikan kedaulatan negara, keselamatan, dan kepentingan pembangunan’.
Tetapi semua parti politik Taiwan arus perdana menolak cadangan itu dan menurut tinjauan pendapat, ia hampir tidak mendapat sokongan awam, terutamanya selepas Beijing mengenakan undang-undang keselamatan negara ke atas Hong Kong pada 2020.
“Rakyat Taiwan sudah jelas menolaknya,” kata Majlis Hal Ehwal Tanah Besar itu lagi.
Sponsored by Egroup88