Taib Mahmud sah dirawat di KL, polis buka siasatan ikut Seksyen 336 KK – Razarudin
KUCHING: Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, disahkan kini sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menerusi satu kenyataan malam ini.
Terdahulu, BH Online menyiarkan berita mengenai Abdul Taib yang kini dikatakan berada di Kuala Lumpur selepas keluar dari Pusat Perubatan Normah di Petra Jaya, dekat sini pada Sabtu lalu
Tokoh berpengaruh berusia 87 tahun itu dikatakan dibawa ke ibu negara dengan penerbangan khas tengah hari semalam, namun tidak diketahui sama ada beliau menerima rawatan di hospital atau tidak, kata sumber.
Dalam pada itu, Razarudin memaklumkan laporan polis yang tersebar di media sosial sejak Ahad lalu adalah sahih dan polis kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, katanya, siasatan bukanlah membabitkan insiden bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu dilarikan, sebaliknya lebih kepada perbuatan yang mungkin boleh membahayakan kesihatan Abdul Taib.
“Tıada istilah dilarikan kerana yang membawa keluar dan balik ke rumah adalah isteri bekas Yang di-Pertua Negeri itu.
“Kertas siasatan sudah dihantar ke Pejabat Pendakwaan Negeri Sarawak pada 9 Februari 2024 dan masih menunggu arahan lanjut,” katanya.
Seksyen 336 Kanun Keseksaan membabitkan perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
Sehubungan itu, Razarudin menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar sehingga boleh menimbulkan pelbagai spekulasi.
Sponsored by Egroup88