Tahap keselamatan di Sabah terkawal, PDRM sentiasa siap siaga

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di Sabah adalah terkawal walaupun terdapat laporan media antarabangsa yang mendakwa terdapat komplot perancangan serangan ke atas Sabah oleh Tentera Diraja Sulu (RSA).

Semua elemen PDRM sentiasa berada dalam keadaan siap-siaga pada setiap masa untuk menangani sebarang bentuk ancaman.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata PDRM juga mempergiatkan usaha bagi mengesan dan mengenal pasti anasir-anasir di Sabah yang berkemungkinan terbabit dalam komplot berkenaan.

“Pihak polis memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap tertinggi di Sabah untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman pencerobohan.

“Komitmen dalam perkara ini akan diberikan demi mengelak sebarang insiden pencerobohan berulang di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata, PDRM mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa Filipina dalam aspek perkongsian maklumat risikan mengenai sebarang aktiviti yang boleh mengancam hubungan akrab serta keselamatan kedua-dua negara.

“Setakat ini tiada pengesahan diterima mengenai pelan yang dimaksudkan dan ia dipercayai adalah maklumat yang telah dimanipulasi oleh pihak-pihak yang mencemburui tahap keselamatan serta hubungan rapat antara negeri Sabah dengan wilayah selatan Filipina,” katanya.

Sebarang usaha untuk mengugat keselamatan dan kedaulatan negara oleh mana-mana pihak akan diambil tindakan tegas.

Terdahulu media antarabangsa South China Morning Post (SCMP) melaporkan wujud komplot oleh Tentera Diraja Sulu (RSA) untuk menyerang Sabah.

Laporan itu menyatakan terdapat satu pertemuan rahsia dalam kalangan 19 Datuk Bandar di Filipina bagi membincangkan pengambilan 600 tentera bersenjata untuk melakukan serangan yang dijangka pada sekitar Februari 2022, sebagai memperingati peristiwa Lahad Datu 2013.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.