Tahanan polis meninggal di Hospital Tanah Merah akibat COVID-19
KUALA LUMPUR: Kematian seorang tahanan lelaki warganegara Myanmar di Hospital Tanah Merah, Kelantan awal pagi tadi disahkan akibat jangkitan COVID-19.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata, lelaki berkenaan ditahan semalam oleh anggota polis daripada Balai Polis Jeram Perdah, Pasir Mas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
“Ujian awal mendapati lelaki berkenaan positif COVID-19 dan kemudian dihantar ke Hospital Tanah Merah bagi mendapatkan rawatan.
“Lelaki itu ditempatkan di wad COVID-19 pada jam 4 petang hari sama dan pada jam 2.22 pagi hari ini, lelaki itu disahkan meninggal dunia akibat virus berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Beliau berkata, Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan JIPS akan menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.
Sponsored by Egroup88