Tae Yong optimis Indonesia bangkit benam Thailand esok
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae Yong optimis pasukannya akan meraih kemenangan ke atas Thailand pada aksi final kedua Piala AFF 2020 di Stadium Nasional, Singapura, esok.
Walaupun menaruh keyakinan tinggi, Tae Yong pasti sedar bahawa terlalu sukar untuk anak buahnya mengatasi agregat 4-0 yang dimiliki Thailand hasil kemenangan pada final pertama, kelmarin.
Berdasarkan kelebihan secara agregat dan persembahan cemerlang Thailand sepanjang Piala AFF kali ini, Indonesia hanya mengharapkan keajaiban berlaku untuk mereka menjulang trofi itu buat kali pertama sejak ia diperkenalkan pada 1996.
“Saya amat percaya kami akan memenangi perlawanan (akhir kedua) esok,” kata Tae Yong.
“Melihat kembali pada perlawanan final pertama, pasukan kami gugup dan terpengaruh dengan wisel pengadil, tetapi itu boleh diterima kerana mereka hanya mempunyai sedikit pengalaman dalam perlawanan besar.
“Sudah tentu Thailand pasukan yang kuat dan ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Namun, saya akan pergi untuk menang esok dan saya meletakkan kepercayaan penuh terhadap pasukan untuk melakukannya.”
Walaupun kejuaraan sudah boleh dianggap menjadi milik Thailand, skuad Gajah Perang yang juga juara lima kali pasti tidak mahu rekod tanpa kalah mereka sepanjang kejohanan kali ini dirosakkan Garuda.
Malah, ketua jurulatih Thailand, Alexandre Polking turut memberi bayangan bahawa pasukannya tetap akan turun dengan misi meraih kemenangan pada aksi final kedua.
“Berdasarkan keputusan yang baik daripada perlawanan pertama, kami berasa lebih bebas dan boleh bermain dengan cara yang kami suka serta saya tidak nampak sebab untuk mengubahnya.
“Kami perlu pamerkan persembahan yang kami mampu dan meraikannya selepas itu, tetapi ia masih belum berakhir dan kami perlu tampil dengan pendekatan sama iaitu memiliki perasaan dahagakan kemenangan seperti yang kami tunjukkan sepanjang kejohanan,” katanya.