Syed Abu Hussin nafi ugut Ahli Parlimen Pendang

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjelaskan beliau tidak membuat ugutan kepada mana-mana pihak, termasuk Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai tuduhan liar dan bersedia berkongsi rakaman perbualan telefon dengan Awang jika ada laporan polis dibuat ke atas beliau.

“Tiada ugutan. Kalau ada ugutan, boleh buat laporan polis.

“Saya ada bercakap dengan beliau (Awang) dan ada membuat rakaman sebagai bukti. Jika ada laporan polis, saya akan bagi rakaman itu,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian ditanya mengenai dakwaan Awang menerima ugutan daripadanya dan keluarganya.

Di Dewan Rakyat, hari ini Awang bangun sejurus selesai sesi soal jawab lisan mendakwa diugut menerusi panggilan telefon pada Selasa lalu, hari yang sama Syed Abu Hussin mengumumkan secara terbuka sokongan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Syed Abu Hussin juga menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri atas dasar menyokong usaha yang sedang dilaksanakan kerajaan melalui konsep Malaysia Madani.

Beliau turut menafikan sokongan itu berkaitan usaha mendapatkan projek daripada kerajaan untuk dirinya dan keluarga.

Mengenai tindakan parti BERSATU kepadanya, beliau menegaskan sokongan terbuka itu tidak bertentangan dengan peraturan dan perlembagaan parti.

“Saya hanya sokongan usaha Kerajaan Madani bukan sokong parti Perdana Menteri dan parti boleh mengambil tindakan berdasarkan perlembagaan,” katanya mengakui masih ahli parti BERSATU.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.