Syarikat perkhidmatan minyak, gas mesti cepat beralih ke tenaga bersih

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) perlu mempercepat usahanya ke arah peralihan tenaga sejajar dengan peningkatan ketara kelestarian alam sekitar, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) hari ini, Rafizi berkata keutamaan nasional dan antarabangsa kini semakin terarah kepada prinsip rendah karbon bagi menangani perubahan iklim dan ia mewujudkan peluang yang besar bagi industri OGSE dalam jenis tenaga bersih lain.

“Kita perlu memastikan pemain OGSE kita bergerak ke arah usaha itu, dan saya mencadangkan lebih banyak inisiatif dimasukkan ke dalam Rangka Tindakan OGSE bermula tahun ini,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Ketiga pelaksanaan Rangka Tindakan Industri OGSE Kebangsaan (Rangka Tindakan OGSE) 2021-2030, hari ini.

Rafizi berkata, inisiatif Rangka Tindakan OGSE akan membuka ruang bagi syarikat OGSE untuk berkembang maju pada masa depan dengan meningkatkan keupayaan mereka menyediakan perkhidmatan sokongan di tengah-tengah peralihan tenaga, termasuk mengukuhkan kemampanan dan kapasiti mereka untuk beralih kepada industri lain selain perniagaan tradisional minyak dan gas.t

Beliau juga memuji kemajuan ketara yang dicatatkan dalam pelaksanaan Rangka Tindakan OGSE pada tahun lalu.

Rangka Tindakan itu, yang dilancarkan pada April 2021, mencatatkan beberapa pencapaian utama pada 2022 termasuk komitmen RM10 juta kepada 42 perusahaan kecil dan sederhana OGSE bagi Geran Pembangunan OGSE.

Rafizi berkata, lima inisiatif baharu dijangka dimulakan pada 2023 meliputi akses pasaran, pembiayaan dan pembangunan tenaga kerja OGSE.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden MPRC, Mohd Yazid Ja’afar, berkata inisiatif pembangunan tenaga kerja yang dijangka bermula pada 2023 itu akan menyediakan kemahiran yang diperlukan oleh pekerja dan jurutera untuk berdepan dengan realiti yang membentuk masa depan industri OGSE dan tenaga di Malaysia dan juga di luar negara.

MPRC bertanggungjawab terhadap Rangka Tindakan OGSE.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.