SWCorp Negeri Sembilan rekod 1,151 tan metrik sisa pepejal pascabanjir

SEREMBAN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 1,151 tan metrik sisa pepejal pascabanjir, setakat semalam.

Pengarahnya, Mohd Zahir Shari, berkata ia membabitkan empat daerah yang terjejas teruk akibat banjir, baru-baru ini, iaitu Seremban, Port Dickson, Rembau dan Jelebu.

“Hingga kini, anggaran kapasiti sisa pepejal pascabanjir bagi tempoh seminggu di Seremban ialah sebanyak 427 tan, Port Dickson (371), Jelebu (309) dan Rembau (44),” katanya kepada BH, hari ini.

Mohd Zahir berkata, misi bantuan pembersihan pascabanjir masih diteruskan, terutama di kawasan terkesan teruk seperti Jelebu dan Kampung Ismail Ampangan, di sini.

Beliau berkata, pihaknya sudah mewujudkan sebuah tapak pengumpulan sementara (transit) di Titi, Jelebu, dengan persetujuan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melancarkan kerja pembersihan.

“Walaupun hanya sebuah tapak transit diwujudkan, ia mencukupi kerana sisa pepejal berkenaan tidak berada lama di sana apabila proses mengangkut sisa terbabit ke pusat pelupusan berjalan lancar,” katanya.

Mohd Zahir berkata, pihaknya juga amat berterima kasih atas kerjasama baik daripada PBT dan pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin setempat, bagi mempercepatkan proses pungutan sisa pukal berkenaan.

“Melalui bantuan dan kerjasama pelbagai pihak, kita menjangka proses kutipan sampah dan pembersihan pascabanjir ini dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi.

“Namun, tempoh itu tidak termasuk pembersihan dalam sistem perparitan yang mungkin mengambil masa lebih lama jika terdapat kerosakan pada insfrastruktur berkenaan,” katanya.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.