Sultan Selangor berkenan terima zakat perniagaan RM10.79 juta
SHAH ALAM : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat perniagaan daripada empat syarikat berjumlah RM10.79 juta (RM10,790,760).
Menurut Lembaga Zakat Selangor (LZS), Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan anak-anak syarikat mendahului senarai syarikat menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM5 juta (RM5,057,000) diwakili oleh Pengarah Urusan dan juga Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Fariz Hasaan.
Penyerahan itu diikuti oleh Kumpulan Worldwide Holdings Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datin Paduka Norazlina Zakaria menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM2.8 juta (RM2,820,000).
Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Saipolyazan Md Yusop menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1.9 juta (RM1,913,760) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi menyerahkan zakat perniagaan RM1 juta.
Penyerahan itu dilakukan pada sempena Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof; Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir; Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail; Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Ambrin Buang dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.
Sponsored by Egroup88