Stor maahad tahfiz terbakar
YAN: “Semalam, asrama pelajar di Maahad Tahfiz Assyatirie cawangan di Dulang Besar terbakar, hari ini sebuah bilik stor asrama yang menyimpan tilam di bangunan induk Kampung Sungai Dedap, di sini terbakar.
Mungkin Allah nak uji kami tapi Alhamdulillah, semuanya selamat,” kata pembantu Tok Guru di maahad itu, Mohd Faiz Badrudin, 22.
Dalam kejadian jam 4.45 petang tadi, kebakaran itu disedari pelajar perempuan di asrama bangunan sebelah yang ternampak kepulan asap sebelum menjerit memberitahu ada kebakaran di bilik stor tingkat tiga bangunan berkenaan.
Menurut Mohd Faiz, ketika kejadian sebahagian besar pelajar lelaki sedang mengaji di tingkat bawah bangunan berkenaan.
“Sebaik kami terdengar jeritan pelajar perempuan dari bangunan sebelah, sebahagian daripada pelajar naik ke tingkat atas dan cuba memadam api dari merebak ke bilik sebelah sementara menunggu bomba tiba.
“Asrama ini mempunyai 200 pelajar lelaki dan 24 pelajar perempuan yang kesemuanya berusia antara 10 hingga 26 tahun.
“Kebakaran hari ini selang sehari dari kejadian kebakaran di asrama Maahad Tahfiz Assyatirie cawangan, semalam tapi kedua-dua kejadian tidak membabitkan mangsa,” katanya di sini hari ini.
Mohd Faiz berkata, asrama di situ memang dikosongkan sejak Zuhur sehingga selepas solat Asar.
Katanya, maahad tahfiz itu ditubuhkan oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) sejak 2009.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba Fauzi Shuaib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran bilik asrama bangunan kelas A itu pada jam 4.58 petang dan sepasukan anggotanya tiba di lokasi tiba di lokasi.
Beliau berkata, setibanya di lokasi, didapati kebakaran di bilik asrama berkenaan berjaya dipadam oleh petugas maahad tahfiz berkenaan dengan menggunakan pemadam api jenis serbuk kering.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.
Sponsored by Egroup88