Stadium KL sudah sedia jadi ‘rumah kedua’ Harimau Malaya
KUALA LUMPUR: Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras disifatkan sudah bersedia sepenuhnya untuk bertindak sebagai ‘rumah kedua’ buat skuad Harimau Malaya selepas Stadium Nasional Bukit Jalil.
Keyakinan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard yang mengakui venue yang menjadi gelanggang buat skuad ‘Warga Kota’ itu mampu berbuat demikian sekiranya Stadium Nasional tidak dapat digunakan untuk perlawanan antarabangsa.
“Saya rasa dengan pengurusan yang ditunjukkan oleh KL City FC pada pertandingan Piala AFC baru- baru ini mula menaikkan taraf kerja mereka. Seperti yang diketahui, permintaan untuk domestik dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) adalah berbeza.
“Dari skop itu, kita bersedia dan kalau anda berhubung dengan AFC pun, mereka katakan apa yang dilakukan pengurusan KL City FC sudah cukup baik tetapi sudah tentu ada yang perlu diperbaiki untuk masa akan datang.
“Mungkin ada keperluan untuk mengadakan jawatankuasa stadium di bawah KL City FC atau Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk memastikan stadium berada pada tahap yang elit.
“Secara langsung, kita sedia menjadi sokongan kepada skuad Harimau Malaya atau pun untuk mana -mana pertandingan bertaraf Asia,” katanya.
Sebagai rekod, stadium yang terletak di Bandar Tun Razak, itu memiliki kapasiti 18,000 tempat duduk dan pernah menjadi venue bagi pertandingan antarabangsa.
Antaranya kelayakan Piala AFF, aksi Piala AFF serta final Piala AFC 2019 antara 4.25 SC dari Korea Utara menentang kelab dari Lubnan, Al-Ahed.
Sponsored by Egroup88