Stadium baharu Kedah hampiri kualiti stadium JDT
ALOR SETAR: Cadangan membina stadium baharu pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang terletak di Sungai Petani akan diadakan secara kerjasama antara kerajaan negeri, KDA FC dan swasta.
Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor berkata, proses ini akan bermula dalam masa terdekat dan tanpa menggunakan dana kerajaan negeri.
“Apabila KDA FC memberi cadangan untuk membina stadium dengan kelengkapan pusat latihan sendiri, saya kata ia boleh dilaksanakan secara usaha sama antara KDA FC dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) iaitu tanah dimiliki MPSPK dan dana untuk pembinaan pula daripada KDA FC serta rakan niaga.
“Tanah tapak pembinaan stadium KDA FC di Sungai Petani itu terletak tidak jauh dari kawasan litar lumba dan telah dibuat pengambilan beberapa tahun dahulu oleh MPSPK dan kerajaan negeri untuk membuat stadium, tetapi dana untuk membina stadium tidak ada, lalu ia terbiar begitu lama.
“Jadi, KDA FC membuat keputusan untuk adakan usaha sama untuk pembinaan stadium ini dan saya akan bawa perkara ini untuk ke peringkat majlis mesyuarat kerajaan negeri,” katanya pada majlis Pelancaran Widad K-League 2022 di sini hari ini.
Sanusi juga berkata pihaknya sudah meneliti keseluruhan cadangan stadium baharu berkenaan selepas urusan KDA FC bersama rakan niaganya berlangsung sebelum ini.
“KDA FC ada cara untuk mencari dana bagi pembinaan stadium baharu ini dan mereka (KDA FC) sudah melawat stadium pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kualitinya hampir dekat walaupun tak sampai tahap mereka.
“Saya juga sudah melihat lukisan reka bentuk stadium baharu itu, dan memang nampak cantik dengan ada bahagian yang khusus untuk KDA FC serta pusat latihan serta ruang terbuka untuk orang ramai beriadah kerana ini tanah MPSPK,” katanya.
Sponsored by Egroup88