Soalan lazim sistem janji temu melalui MySejahtera
KUALA LUMPUR: Fungsi janji temu yang dilancarkan dalam aplikasi MySejahtera sejak 6 September lalu, membolehkan pengguna menempah janji temu bagi perkhidmatan di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).
Melalui fungsi itu, pengguna boleh membuat janji temu pelbagai perkhidmatan, termasuk rawatan pesakit luar, inisiatif saringan kesihatan kebangsaan, saringan kesihatan PeKa B40, pemeriksaan kesihatan prapekerjaan, saringan praperkahwinan, khidmat berhenti merokok, perkhidmatan perancang keluarga dan prosedur lain.
Berdasarkan ruangan Soalan Lazim dalam laman sesawang: mysejahtera.moh.gov.my, fungsi janji temu itu boleh digunakan oleh semua pengguna aplikasi MySejahtera berusia 18 tahun ke atas, termasuk tanggungan mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
Pengguna boleh menempah slot janji temu di mana-mana fasiliti kesihatan bawah KKM, berdasarkan perkhidmatan yang diberikan.
Slot tarikh dan masa janji temu akan diberi bergantung pada fasiliti kesihatan, manakala pengguna boleh menyemak dan memilih slot janji temu dibuka oleh fasiliti kesihatan berdekatan jika terdapat pilihan tarikh serta masa yang sesuai.
Pengguna aplikasi MySejahtera boleh menempah satu slot janji temu setiap jenis perkhidmatan pada satu masa saja.
Bagi mereka yang menempah janji temu baharu, pengguna perlu menekan butang ‘Batal’ atau ‘Menjadualkan Semula’.
Tiada bayaran dikenakan bagi penggunaan fungsi janji temu, namun terdapat keperluan bayaran atau caj perkhidmatan di fasiliti kesihatan primer kerajaan berdasarkan Perintah Fi (Perubatan) 1982 dan Perintah Fi (Perubatan) (Pindaan) 2017.
Bagaimanapun, fungsi terbabit tidak boleh digunakan untuk menempah slot janji temu vaksinasi COVID-19, dan pengguna dinasihatkan untuk membuat tempahan terbabit dalam laman COVID-19 Vaksinasi.
Semalam, KKM mengumumkan sistem janji temu menggunakan MySejahtera dalam urusan di fasiliti kesihatan primer kerajaan, dalam usaha mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan selepas mengambil kira masa menunggu yang lama ketika ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dipetik berkata, sistem itu bertujuan membantu fasiliti kesihatan primer mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing-masing dan mengelak kesesakan di tempat pendaftaran dan menunggu.
Sponsored by Egroup88