Single Gatal cetus fenomena di Indonesia
KUALA LUMPUR: Single Gatal dendangan Janna Nick mencetuskan fenomena apabila muncul dalam senarai Top 10 Lagu Paling Popular dalam aplikasi TikTok Indonesia sepanjang Februari lalu.
Bukan itu sahaja, single ‘catchy’ ciptaan Aeprul Roza yang dilancarkan pada 28 Januari lalu itu mendapat perhatian pelakon dan selebriti TikTok Korea, Baek Jong Min.
Malah, lagu ‘berhantu’ itu turut menarik perhatian pengguna TikTok daripada pelbagai negara termasuk Russia, Filipina dan Thailand.
Janna yang sudah hampir lima tahun tidak muncul dengan single baharu selepas lagu Akan Bercinta pada 2017, tidak menyangka lagu Gatal menerima impak sehebat itu.
Biarpun gembira dengan pencapaian itu, Janna atau nama sebenar, Nurul Janna Muner, 27, menganggap insan paling layak mendapat pujian atas kejayaan single itu adalah Aepul.
“Saya berterima kasih kepada Aepul dan Warner Music atas kegigihan mereka mempromosikan lagu ini. Saya bangga dengan lagu itu, tetapi tidak mahu mengagungkan diri sendiri.
“Lagipun, saya cuma penyanyi. Sesiapa sahaja boleh menggantikan tempat saya untuk menyanyikan lagu itu. Jadi, saya tidak layak menerima pujian atas kejayaan ini.
“Pengguna TikTok di seluruh dunia yang menjadikan lagu itu ‘trending’. Bagi saya, mungkin kali ini nasib menyebelahi diri ini,” katanya kepada BH Online.
Sementara itu, Aepul yang juga vokalis kumpulan Drama Band tidak menyangka single Gatal ‘melekat’ di telinga pendengar hingga popular di luar negara.
Aepul mendapat idea untuk melodi lagu Gatal pada 2019 dan menyiapkannya pada 2020.
“Saya ambil masa lama menyiapkan lagu itu. Saya dapat ilham melodi untuk bahagian korus pada 2019. Setahun kemudian, barulah demo siap.
“Kemudian saya simpan lagu sehinggalah tahun lalu apabila Janna hubungi meminta lagu,” katanya yang mendapat ilham mencipta Gatal ketika sedang memandu.
“Saya bersyukur dan tidak sangka Gatal memberi impak kepada pendengar. Saya berterima kasih kepada Janna dan Warner Music.
“Saya fikir mungkin stail lagu itu kena dengan ‘trend’ sekarang lantas mudah diterima ramai,” katanya.
Sementara itu, video muzik Gatal yang menampilkan Shukri Yahaya merekodkan lebih 2.5 juta tontonan sejak dilancarkan di YouTube, kira-kira tiga minggu lalu.
Sponsored by Egroup88