Siapa bakal ungguli Anugerah Sukan Negara 2022?

KUALA LUMPUR: Siapakah bakal merangkul gelaran Olahragawan Kebangsaan di Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022 esok selepas dua edisi sebelum ini menobatkan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang?

Azizulhasni atau dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ tidak berada dalam senarai lima calon terakhir kali ini yang turut disertai dua badang negara, Muhamad Aznil Bidin dan Mohamad Aniq Kasdan; jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah; jaguh snuker dan biliard, Lim Kok Leong dan juara dunia beregu lelaki badminton, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Andai dilihat daripada senarai, Aaron-Wooi Yik dilihat lebih berpotensi untuk menerima anugerah berkenaan selepas mereka mencipta sejarah muncul selaku pemain dan gandingan pertama negara menjadi juara dunia, Ogos tahun lalu.

Seandainya dinobatkan, Aaron-Wooi Yik bakal berada sebaris dengan barisan legenda beregu lelaki badminton yang pernah diangkat sebagai Olahragawan yang kali terakhir dirangkul Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007.

Beregu lelaki lain yang turut pernah merangkul gelaran berkenaan adalah Datuk Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock pada 1997.

Pencabar lain seperti Aznil dan Aniq turut mempunyai reputasi yang baik pada 2022 apabila masing-masing berjaya meraih pingat emas bagi membantu kontinjen Malaysia pulang dengan kutipan tujuh emas keseluruhan.

Aznil berjaya mempertahankan kilauan pingat diraihnya pada edisi 2018 di Gold Coast manakala Aniq turut melakar sejarah tersendiri, meraih emas sulung buat kontinjen negara di Birmingham selain memecahkan rekod temasya dalam kategori 55kg.

Di sebalik tiga ‘wira’ ini, penyertaan Mohd Syarul atau dikenali sebagai Mike tidak sepatutnya dipinggirkan, apatah lagi dia sudah membuktikan kemampuannya meraih gelaran dunia kelima di Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal tahun lalu meskipun sudah berusia 50 tahun.

Kok Leong juga mempunyai ‘kekuatan’ tersendiri apabila muncul pemain snuker pertama negara menjuarai Kejohanan Snuker Amatur Dunia di Altalya, Turkiye pada November tahun lalu selepas meraih gelaran di Kejohanan Snuker Berpasukan Lelaki Dunia bersama pasangan Moh Keen Ho.

Dalam pada itu, saingan bagi gelaran Olahragawati juga tidak kurang hebatnya dengan Datuk Pandelela Rinong Pamg bakal memburu gelaran kelimanya kali ini.

Namun ratu terjun itu menerima tentangan hebat gimnas muda berusia 18 tahun, Ng Joe Ee yang berjaya meraih emas berganda di Sukan Komanwel Birmingham masing-masing menerusi dispilin bola dan riben sekali gus melengkapkan sasaran enam emas diletakkan kontinjen negara.

Turut berada dalam senarai lima pencalonan akhir Olahragawati adalah atlet muaythai, Nor Amisha Azrilrizal; atlet petanque, Nur Ain Syuhada Mohd Asri dan seorang lagi wakil sukan terjun, Nur Dhabitah Sabri.

Sementara itu, pelumba basikal lebuh raya para, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin mengetuai pencalonan kategori Olahragawan Paralimpik diikuti dua atlet powerlifting, Jong Yee Khie dan Bonnie Bunyau Gustin, Cheah Liek Hou (badminton) dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (renang).

Pemenang pingat emas renang Sukan Para ASEAN Solo 2022 Brenda Anellia Larry bersaing dengan Carmen Lim (renang) dan Nani Shahiera Zawawi (olahraga) bagi kategori Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.