Sheila dapat menantu
KUALA LUMPUR: Ratu Jazz, Datuk Sheila Majid menerima kehadiran menantu pertama apabila anak lelakinya, Megat Abdul Majid Aziz Roslan selamat diijabkabulkan dengan pilihan hati, Nik Nuralia Nik Fauzi dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, di sini, pagi tadi.
Berkongsi keterujaannya itu, penyanyi lagu Sinaran itu mendoakan pasangan mempelai dikurniakan kebahagiaan dalam melayari rumah tangga hingga ke alam syurga.
“Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan kehadiran Nuralia dalam keluarga kami.
“Sebagai ibu, sudah tentu saya mengharapkan mereka selalu bersatu dan bersepakat dalam semua perkara.
“Semoga rumah tangga yang dibina dirahmati dan mendapat bimbingan Allah SWT.
“Saya juga sentiasa mendoakan semoga ikatan yang dibina ini berkekalan hingga ke akhir hayat,” katanya kepada BH Online.
Pada majlis itu, pasangan mempelai yang dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Nik Fauzi sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz.
Pengantin perempuan dihadiahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan serta menerima mas kahwin sebanyak RM80.
Bagaimanapun, jumlah wang hantaran tidak dinyatakan.
Malam ini, pasangan pengantin diraikan dalam satu majlis resepsi di lokasi yang sama.
Sheila turut berkongsi berita gembira dalam laman Instagram (IG) dan dibanjiri dengan ucapan tahniah dari rakan-rakan artis tempatan dan seberang.
Antara selebriti yang turut berkongsi kegembiraan termasuklah Anuar Zain, Afgan, Datuk Ziela Jalil, Datin Nina Juren dan ramai lagi.
Terdahulu, Megat dan Nik Nuralia mengikat tali pertunangan pada Disember 2020.
Megat adalah anak kedua Sheila hasil perkahwinan terdahulunya bersama komposer terkenal, Roslan Aziz.
Sponsored by Egroup88