Setiausaha Agung PBB zahir penghormatan kepada pekerja terkorban di Gaza

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menzahirkan penghormatan kepada kakitangan badan antarabangsa itu yang terkorban dalam peperangan di Gaza, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Seramai 136 rakan sekerja kami di Gaza telah terbunuh dalam tempoh 75 hari – sesuatu yang tidak pernah kami lihat dalam sejarah PBB.

“Kebanyakan kakitangan kami telah dipaksa keluar dari kediaman mereka. Saya menzahirkan penghormatan kepada mereka dan beribu-ribu petugas bantuan yang mempertaruhkan nyawa untuk menyokong orang awam di Gaza,” katanya dalam hantaran melalui X, hari ini.

Dalam hantaran lain, Guterres sekali lagi mengkritik tindakan Israel dalam konflik itu.

“Cara Israel melakukan serangan mewujudkan halangan besar kepada misi pengagihan bantuan kemanusiaan di Gaza,” katanya.

Beliau menekankan, untuk membolehkan bantuan kemanusiaan dibawa ke Gaza secara berkesan, kakitangannya perlu bekerja dalam persekitaran yang selamat.

Selepas ditunda beberapa kali, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) semalam meluluskan resolusi menggesa peningkatan bantuan kemanusiaan kepada dua juta orang awam yang begitu memerlukan di Semenanjung Gaza.

Bagaimanapun, resolusi itu tidak menuntut gencatan senjata segera yang diharapkan oleh Guterres.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.