Sebuah rumah, kereta musnah dalam kebakaran di Assam Jawa
KUALA SELANGOR: Sebuah rumah dan kereta musnah dalam kebakaran di Jalan Lintang, Kampung Tengah, Assam Jawa, di sini, petang tadi.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian itu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata terdahulu, sepasukan 23 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 6.16 petang.
“Setiba di lokasi, kami dapati kebakaran membabitkan rumah kayu separuh batu dan kereta Perodua Myvi,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Ahmad Mukhlis berkata, berdasarkan maklumat saksi kejadian, api dipercayai bermula dari bahagian dapur dan ia disedari jiran sebelah.
“Anggota bertugas difahamkan pemilik rumah tiada di lokasi kerana pulang ke kampung.
“Proses pemadaman mengambil masa kira-kira setengah jam dan api berjaya dikawal sepenuhnya jam 6.28 petang tadi. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan rumah dan Perodua Myvi masing-masing musnah 90 peratus.
Sponsored by Egroup88