Sayu kali pertama berpuasa dalam penjara
Penjara Sungai Petani lokasi Program Tautan Kasih Ramadan di Sebalik Tirai Besi, semalam.

SUNGAI PETANI: Pertama kali menjalani ibadah puasa Ramadan di sebalik tirai besi, menimbulkan rasa sayu penghuni Penjara Sungai Petani di sini kerana tidak dapat berbuka bersama keluarga.

Amran (bukan nama sebenar), 21, terpaksa menahan perasaan itu kerana kesilapan yang dilakukan, mencuri barang kemas di sebuah premis di Alor Setar pada Oktober tahun lalu menyebabkan dia kini menjalani hukuman penjara selama 16 bulan.

“Sebelum ini saya banyak habiskan masa dengan kawan-kawan, tak banyak berada di rumah dengan keluarga. Sedih juga tak dapat beraya dengan keluarga nanti,” katanya.

Ditemui pemberita pada Program Tautan Kasih Ramadan di Sebalik Tirai Besi anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah di Penjara Sungai Petani semalam, Amran berkata, dia takut, sedih dan terkejut apabila kebebasan dinikmati selama ini disekat disebabkan kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan.

Katanya, segalanya bermula apabila dia terpengaruh dengan rakan sebaya selain desakan hidup mendorongnya nekad mengambil jalan yang menyalahi undang-undang untuk mendapatkan wang.

“Saya dan rakan mencuri barang kemas, malah rakan berjaya menjualnya di kedai pajak gadai dengan nilai RM38,000, tapi belum sempat kami bahagi dan belanjakan wang terbabit, kami ditangkap selepas petugas kedai pajak gadai itu membuat laporan polis.

“Rasa takut, sedih, macam-macam perasaan, selepas dua hari kami mencuri terus ditangkap, memang tak boleh bayang apa akan terjadi,” katanya yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, katanya, selepas dimasukkan ke penjara, dia mempelajari banyak perkara baharu, termasuk ilmu agama selain membaca al-Quran untuk menjadi insan yang lebih baik sebelum dibebaskan nanti.

Sementara itu, penghuni wanita di penjara sama, Nisha (bukan nama sebenar), 19, turut berasa sedih apabila tidak dapat bersama anak perempuannya yang berusia tiga tahun pada Ramadan dan Aidilfitri kali ini.

Pegawai Majlis Keelamatan Negara (MKN), Nor Azean Azizan menemu bual seorang penghuni wanita Penjara Sungai Petani pada Program Tautan Kasih Ramadan di Sebalik Tirai Besi, semalam.

Nisha yang didakwa mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 berkata, pertama kali menjalani ibadah puasa di sebalik tirai besi benar-benar menginsafkannya, apatah lagi perasaan rindu amat kuat kepada anak membuatkan dia kesal atas kesilapan dilakukan.

Pengarah MKN Kedah, Mohd Zawawi Zakaria, berkata Program Tautan Kasih Ramadan di Sebalik Tirai Besi itu julung kali diadakan di Penjara Sungai Petani yang bertujuan meraikan Ramadan bersama penghuni di penjara berkenaan.

Beliau berkata, memandangkan penghuni penjara tidak dapat merasai nikmat Ramadan dan berbuka bersama keluarga, MKN mengadakan program itu bagi mengubat kerinduan mereka terhadap keluarga masing-masing.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.