‘Saya tidak bersalah dan akan jawab segala pertuduhan di mahkamah’ – Muhyiddin
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin menegaskan bahawa beliau tidak bersalah dan tujuh pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah bertujuan untuk memalukannya.
Presiden BERSATU itu berkata, pendakwaan terpilih ke atas dirinya ini adalah satu tindakan politik berniat jahat yang bertujuan untuk melumpuhkan dan menghancurkan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN)
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tahu bahawa PN mendapat sokongan padu daripada rakyat terutamanya orang Melayu dan Bumiputera dan akan menang besar dalam enam pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Saya menegaskan bahawa saya tidak bersalah dan saya akan jawab segala pertuduhan terhadap saya di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, beliau sudah menjelaskan semua perkara kepada SPRM dan tiada asas untuk mendakwanya di bawah mana-mana undang-undang.
“Tetapi sudah ada arahan daripada pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara supaya saya didakwa.
“Jadi, walau apapun penjelasan yang saya berikan, saya tetap akan didakwa,” katanya.
Sponsored by Egroup88