Saya bukan wakil Jho Low!
SHAH ALAM – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohd Apandi Ali menafikan tuduhan terhadapnya bahawa beliau merupakan wakil individu buruan nombor satu Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low.
Ini susulan laporan sebuah portal berita pada Jumaat yang mendakwa beliau ialah peguam mewakili Jho Low yang dipercayai menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya berhubung kes tersebut.
Katanya, ketika dihubungi Sinar Premium, tuduhan itu tidak berasas dan dia hanyalah pihak yang menguruskan perjumpaan firma guaman antarabangsa dari Amerika Syarikat (AS) dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada akhir Mei lalu.
“Saya bukan wakil dia! Sebaliknya saya hanyalah pihak yang mengatur perjumpaan mereka pada dua hari berturut-turut iaitu 24 dan 25 Mei lalu bersama Peguam Negara.
“Tuduhan itu tidak berasas kerana Jho Low mempunyai peguam-peguam dari Amerika dan mereka datang untuk berjumpa, jadi saya hanya membantu menguruskannya. Itu sahaja. Mereka itulah wakil Jho Low yang sebenarnya,” katanya.
Tambahnya, tidak mustahil namanya terpalit dalam kontroversi yang sensasi itu kerana ada pihak yang mempunyai agenda politik tersendiri.
“Oleh itu, saya membuat kenyataan yang berfakta. Saya faham semua ada hak bersuara dan mereka boleh bercakap apa sahaja namun perlu berhati-hati dan jangan sampai memfitnah.
“Saya akan menyaman mereka yang membuat fitnah terhadap saya tidak kira siapa pun. Sedangkan bekas Perdana Menteri juga saya pernah saman,” katanya.
Sementara itu, Mohd Apandi turut menafikan dakwaan beliau mengetahui bayangan lokasi Jho Low ketika ini.
“Saya tidak tahu di mana lokasi Jho Low kerana saya tidak berjumpa dengan dia. Dia bukan ‘klien’ saya,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan Jho Low melalui wakilnya telah membuat percubaan untuk mendapatkan satu penyelesaian dengan kerajaan Malaysia namun AGC menolak semua tawaran tersebut.
Ketika ditanya tentang salah satu jalan penyelesaian yang ditawarkan pada kerajaan, Mohd Apandi masih mengunci mulut tetapi berpandangan bahawa AGC mempunyai hak untuk menolak tawaran itu.
“Butir-butir mesyuarat itu saya tidak boleh cerita. Apa yang saya boleh beritahu memang ada perjumpaan pada Mei lalu namun akhirnya AGC menolak tawaran tersebut dan perkara itu tidak jadi.
“Saya tidak tanya punca penolakan tawaran itu dan AGC mempunyai hak untuk menolak permintaan tersebut,” katanya.
KERAJAAN SUDAH BAYAR BERJUTA
Katanya, status dirinya kini masih bebas ke luar negara selepas sekatan perjalanannya ditarik balik oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sejak tiga tahun lalu.
“Saya bukan pelarian dan bebas ke luar negara. Malah, saya baharu sahaja balik dari London atas urusan berunding bersama pakar-pakar di sana sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas mengkaji isu Pulau Batu Puteh.
“Sekatan itu sudah lama ditarik balik dan mereka tidak ada hak untuk menghalang perjalanan saya,” katanya.
Mohd Apandi juga menjelaskan bahawa saman beliau terhadap kerajaan dan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad susulan pemecatan secara salah pada 2018 sudah tamat dan selesai sepenuhnya.
“Perkara itu sudah selesai dan mereka sudah membayar saya berjuta-juta,” katanya.
Sponsored by Egroup88