Safawi, 3 pemain kongsi Kasut Emas
KUALA LUMPUR: Kegagalan dua bintang Thailand, Chanathip Songkrasin dan Teerasil Dangda meledak gol pada final kedua Piala AFF 2020 membawa tuah kepada pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid.
Ia susulan Safawi yang meledak empat gol di peringkat kumpulan berkongsi kedudukan teratas penjaring terbanyak bersama Chanathip, Teerasil dan pemain Filipina, Bienvenido Maranon.
Untuk rekod, Teerasil pernah berkongsi anugerah penjaring terbanyak bersama pemain Indonesia, Budi Sudarsono dan Agu Casmir dari Singapura pada 2008 dengan meledak empat gol keseluruhan.
Kejayaan Safawi berkongsi gelaran penjaring terbanyak bersama tiga pemain lain boleh dianggap sebagai pengubat duka buat Harimau Malaya yang tersingkir di peringkat kumpulan.
Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengikut jejak Safee Sali dan Safiq Rahim yang pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak pada 2010 dan 2014 selepas masing-masing meledak lima dan enam gol.