Sabah perketat syarat masuk

KOTA KINABALU: Semua pengembara yang tiba dari negara dikenakan sekatan perjalanan sementara yang ingin memasuki Sabah dikehendaki mendapat kelulusan khas.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun dalam kenyataan hari ini, berkata pengembara yang tiba dari negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara mengikut senarai terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Imigresen atau mempunyai sejarah perjalanan dalam tempoh 14 hari ke negara itu, dibenarkan memasuki Sabah.

Senarai KKM terkini ialah United Kingdom, Portugal, Belanda, Australia, Kanada, Korea Selatan, Hong Kong, China, Israel, Itali, Jerman, Denmark, Sweden dan Nigeria.

Selain itu, Belgium, Jepan, Brazil, Norway, Republik Czech, Perancis, Austria, Sepanyol, Arab Saudi, Ghana, Ireland, Emeriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat (California).

“Pengembara dikehendaki melakukan ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR) dua hari sebelum berlepas dari negara itu dan mengisi e-Health Declaration.

“Pengembara yang tidak memenuhi kriteria kebenaran masuk ke Sabah perlu mendapatkan kelulusan khas dari Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP) dan merujuk kelayakan melalui laman web rasmi PHEDNP.

“Ujian RT-PCR dilakukan semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa pertama ke Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, bagi pengembara yang tiba dari negara yang dikenakan sekatan perjalanan sementara diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan tanpa mengira status pelalian.

“Selain itu, kuarantin di rumah tidak dibenarkan dan pengembara juga tidak dibenarkan meneruskan perjalanan ke Sabah atau ke destinasi lain dalam negeri ini sehingga lengkap tempoh kuarantin.

“Keputusan ujian saringan RT-PCR pada hari ke -10 mesti negatif sebelum diberi kebenaran penamatan dari kuarantin dan penilaian risiko dilakukan pada hari ke 14 serta lanjutan kuarantin sekiranya perlu,” katanya.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.