Sabah kaji jawatankuasa pantau projek kredit karbon
KOTA KINABALU: Sabah akan mengkaji dan menimbangkan cadangan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengawal selia serta memantau pelaksanaan perjanjian projek kredit karbon di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, bagaimanapun berkata projek itu masih dalam proses rundingan bagi meneliti pelbagai perkara yang berkaitan sebelum dimuktamadkan.
Beliau berkata demikian dalam sidang DUN Sabah semalam bagi mengulas cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) mengenai penubuhan jawatankuasa khas mengawal selia projek kredit karbon di Sabah.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata beliau sedia melihat secara serius cadangan Mohd Shafie itu sejajar ketelusan kerajaan dalam melaksanakan projek berkenaan.
Beliau turut menambah penjualan kredit karbon mampu menambah sumber pendapatan negeri sekiranya diurus dengan baik dan telus.
Perbahasan mengenai kredit karbon menarik perhatian Persidangan DUN Sabah kali ini selepas perkara terbabit dibangkitkan Mohd Shafie supaya kerajaan negeri perlu bersikap telus dalam melaksanakan projek berkenaan.