Rundingan nuklear tidak halang Iran teroka angkasa

TEHRAN: Iran hari ini mengumumkan pelancaran angkasa lepas terbaru, langkah yang menggugat kuasa Barat ketika usaha dipergiatkan bagi menghidupkan semula rundingan perjanjian nuklear 2015.

Jurucakap kementerian pertahanan, Ahmad Hosseini, berkata pelancar satelit Simorgh akan membawa tiga kargo penyelidikan ke angkasa lepas

“Matlamat penyelidikan yang diramalkan bagi pelancaran ini sudah dicapai.

“Ini adalah pelancaran awal, kami akan mengadakan pelancaran operasi dalam masa terdekat,” katanya tanpa menghuraikan lanjut mengenai penyelidikan itu.

Televisyen tempatan turut menyiarkan rakaman roket yang berlepas dari landasan pelancaran di padang pasir.

Ia tidak memberikan butiran lokasinya tetapi media AS melaporkan awal bulan ini bahawa persiapan untuk pelancaran sedang dijalankan di pusat angkasa lepas Iran di Semnan, 300 kilometer di timur Tehran.

Pada Februari lalu, Iran mengumumkan sudah melancarkan roket bahan api pepejal yang paling berkuasa setakat ini, Zoljanah, dengan mendakwa ia boleh membawa muatan 220 kilogram ke orbit.

Amerika Syarikat (AS) pula menyuarakan kebimbangan mengenai pelancaran itu, dengan berkata ujian itu boleh meningkatkan teknologi peluru berpandu balistik Iran, ketika kedua-dua negara itu kembali kepada diplomasi dalam rundingan nuklear.

Iran sebelum ini berjaya meletakkan satelit ketenteraannya yang pertama ke orbit pada April 2020 dan ia menerima teguran serius daripada Washington.

Negara Barat bimbang sistem pelancaran satelit itu menggabungkan teknologi yang boleh ditukar ganti seperti mana digunakan dalam peluru berpandu balistik dengan kemampuan menghantar kepala peledak nuklear.

Namun, Iran menegaskan program angkasa lepasnya adalah untuk tujuan awam dan pertahanan saja, malah ia tidak melanggar perjanjian nuklear atau mana-mana perjanjian antarabangsa lain.

Pusingan baru rundingan nuklear akan bermula di Vienna pada Isnin ini dalam usaha baru untuk melakar kemajuan bagi memulihkan perjanjian itu, termasuk membawa balik Washington dan menyekat aktiviti nuklear Tehran.

Britain, China, Perancis, Jerman dan Russia mengambil bahagian dalam rundingan dengan Iran tetapi AS hanya mengambil bahagian secara tidak langsung.

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.