Rumah rosak, pokok tumbang akibat ribut di Ipoh

IPOH: Beberapa rumah rosak dan pokok tumbang akibat ribut di Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas di sini akibat ribut lewat petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.40 petang memaklumkan kejadian ribut kawasan sekitar Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas sebelum anggota bergegas ke lokasi.

“Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati beberapa pokok tumbang dan beberapa rumah rosak. Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini tetapi pemantauan di lokasi masih diteruskan” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu tular di media sosial berkenaan kejadian ribut dan pokok tumbang di beberapa kawasan di Bandaraya Ipoh terutama di Kampung Tawas.
Salah satu video berdurasi 9 saat memaparkan kejadian puting beliung sehingga menerbangkan beberapa kepingan atap dari premis berdekatan Kampung Tawas.
Sementara itu BERNAMA melaporkan kejadian ribut menyebabkan rata-rata penduduk di Kampung Tawas yang kebanyakannya masyarakat Cina sedih kerana bakal menyambut tahun baharu hanya dua hari lagi.
Seorang mangsa Teoh Boh Chee, 60-an, berkata dia terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi angin kuat pada kira-kira jam 6 petang.
“Saya sedang memasak ketika itu dan melihat sendiri bumbung rumah tercabut lalu diterbangkan angin. Saya tidak tahu apa perlu dilakukan kerana Tahun Baharu Cina hanya dua hari lagi, …bagaimana kami hendak menyambutnya dalam keadaan begini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Seorang peniaga Yong Chee Fong, 35, berkata dia bersyukur kerana 10 pelanggan dan beberapa orang pekerja yang berada di kedai makannya terselamat daripada kejadian bumbung runtuh akibat kejadian ribut berkenaan.
“Sudah 10 tahun saya berniaga makanan di sini, tetapi ini pertama kali terjadi ribut yang teruk dan banyak peralatan di kedai rosak,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mita Devi, 36, berkata dia melihat sendiri kejadian ‘puting beliung’ yang berlaku kira-kira 20 minit dan menerbangkan atap rumah.
“Saya hanya mampu berdoa agar kami sekeluarga terselamat dan syukurlah rumah kami tidak mengalami kerosakan terlalu teruk,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran ketika melawat lokasi kejadian berkata semua mangsa terlibat diminta membuat laporan polis bagi memudahkan proses menyaluran bantuan kewangan daripada pejabatnya dan kerajaan negeri.
“Kita anggarkan ratusan rumah yang terlibat di dua kawasan ini, jadi diharapkan mangsa buat laporan polis segera supaya memperoleh bantuan,” katanya.
Sponsored by Egroup88