Royston lengkapkan senarai 82 calon GPS
KUCHING: Teka teki calon yang bakal membawa cabaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) terjawab hari ini, apabila tokoh belia tempatan di Mukah, Royston Valentine, 35, disahkan akan bertanding.
Pada majlis penyerahan watikah calon oleh Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg semalam, kawasan DUN Tellian dibiarkan kosong sehingga mencetuskan tanda tanya, siapa yang bakal menggantikan penyandang, Yusibnosh Balo, yang tidak mempertahankan kerusi terbabit.
Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam kenyataan hari ini berkata Royston, graduan dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Open University Malaysia, berasal dari Kampung Petanak, Mukah.
Royston antara 24 muka baharu dan calon muda yang diketengahkan GPS kali ini.
Beliau yang aktif dalam pelbagai organisasi belia, persatuan dan kelab di Mukah adalah antara pengasas Pusat Kegiatan Mukah dan bergerak aktif dalam aktiviti kemasyarakatan sejak 2007 sehingga kini.
Beliau juga pernah menerima Anugerah Belia Negeri Sarawak (Kategori Lelaki) pada 2017 oleh Kementerian Belia dan Sukan Sarawak manakala pada 2018 merangkul Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Sarawak (kategori individu lelaki) oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
DUN Tellian adalah kerusi baharu hasil persempadanan semula kawasan DUN di Sarawak pada 2016.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) kerusi berkenaan dimenangi Yusibnosh dengan majoriti 5,087 undi.