Rosmah angguk kepala, kata ‘hmmm’ ketika terima wang RM1.5 juta
KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor hanya mengangguk dan berkata ‘hmmm’ ketika wang berjumlah RM1.5 juta dibawa ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, menandakan beliau mengakui dan menerima wang berkenaan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, berkata Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin dalam keterangannya memaklumkan itu reaksi Rosmah ketika dia membawa wang seperti dijanjikan dan akan membayar selebihnya selepas menerima pembayaran lanjut.
“Reaksi tertuduh menunjukkan dia mengakui dan menerima wang itu. Rizal (bekas pembantu khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rizal Mansor) juga melihat dan mendengar tertuduh mengarahkan butler (pembantunya) mengambil dua beg sandang mengandungi wang dan meletakkan dalam biliknya,” katanya dalam penghakiman mahkamah.
Mohamed Zaini berkata, beliau hanya boleh membuat kesimpulan bahawa tertuduh sepatutnya boleh memeriksa kandungan dua beg itu dan kemudian mengiranya, yang berjumlah RM1.5 juta.
“Jika dia tidak pernah berniat menerimanya, beliau sepatutnya menyuruh Saidi dan rakan perniagaannya beredar, membuat aduan kepada Rizal, membuat laporan polis atau memulangkan wang itu kepada Saidi.
“Semua perkara ini tidak dilakukannya. Reaksi tertuduh ialah dia mengangguk dan berkata, “Hmmm”, apabila Saidi memberitahunya bahawa dia sudah membawa wang seperti dijanjikan dan akan membayar selebihnya berdasarkan pembayaran lanjut yang diterima,” katanya.
Mohamed Zaini berkata, beliau berpuas hati bahawa gambar dan rakaman video yang diambil rakan perniagaan Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah membuktikan dua beg sandang berisi wang diletakkan di ruang tamu kediaman itu.
Beliau berkata, mahkamah tidak yakin dengan pembelaan Rosmah bahawa kedua-dua beg sandang terbabit tidak diserahkan kepadanya dan berpuas hati bahawa Rizal sendiri melihat dan mendengar Rosmah mengarahkan `butler’ membawa masuk kedua-dua beg itu ke biliknya.
Katanya, rantaian pergerakan wang RM1.5 juta itu berjaya dibuktikan dan menyimpulkan bahawa kedua-dua beg itu mengandungi wang selaras dengan tuduhan kedua iaitu menerima suapan dengan jumlah terbabit.
“Bagi tuduhan ketiga, mahkamah berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan tertuduh menerima wang RM5 juta daripada Saidi melalui Rizal di kediaman rasmi di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Disember 2016,” katanya.
Sponsored by Egroup88