Rodgers ketepi spekulasi dikaitkan ganti Solskjaer
PARIS: Pengendali Leicester City, Brendan Rodgers mengetepikan spekulasi yang mengaitkannya dengan ‘kerja kosong’ di Manchester United dan fokus untuk menewaskan Legia Warsaw bagi memastikan mereka dapat mengesahkan tempat secara automatik ke pusingan kalah mati Liga Europa.
Pengendali berusia 46 tahun itu dikaitkan sebagai pengurus United yang baharu susulan pemecatan Ole Gunnar Solskjaer, Ahad lalu.
Tawaran itu tampak hadir ketika Rodgers sedang mengharungi laluan paling sukar bersama Leicester sejak mengendalikan pasukan itu pada 2019.
Untuk dua musim lalu, Leicester sentiasa menjadi pencabar untuk slot ke Liga Juara-Juara, namun ketika ini, mereka menghuni tangga ke-12 dan lapan mata di belakang slot automatik ke Liga Juara- Juara.
Prestasi kurang memberangsangkan mereka terbukti apabila Chelsea yang ditewaskan pada final Piala FA musim lalu, mudah membelasah mereka 3-0, minggu lalu.
Leicester kini menghuni tangga ketiga dalam kumpulan, dua mata di belakang pendahulu, Napoli dan satu mata di belakang Legia Warsaw.
Pasukan di tangga kedua berkemungkinan berdepan pasukan yang menghuni kedudukan ketiga dalam Liga Juara-Juara.
Pemain sayap Leicester, Ademola Lookman yang dipinjamkan dari RB Leipzig menjangkakan aksi sukar menanti mereka.
“Setiap kali anda beraksi di Eropah, anda akan berdepan pasukan yang baik. Kami tewas di tangan mereka jadi kami akan gunakan pengalaman itu untuk menang di laman sendiri.
“Kami gagal sebelum ini jadi saya mengharapkan perlawanan ini mampu menunjukkan kualiti sebenar kami.”