RM4 juta bagi dana pemfailan Harta Intelek 2.0

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi inisiatif Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi tempoh empat tahun bermula tahun ini hingga 2025.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata dana di bawah Rancangan Malaysia ke-12 itu dijangka memanfaatkan 2,000 usahawan terutama daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Dana ini merangkumi pembiayaian fi bagi semua pemfailan komponen harta intelek termasuk kos bagi kerja yang memerlukan khidmat profesional dan teknikal seperti penderafan paten.

“Diharap dana ini dapat membantu meringankan beban usahawan tempatan seterusnya meningkatkan daya saing melalui perlindungan harta intelek dan merangsangkan ekonomi negara,” katanya selepas melancarkan dana itu di Akademi Harta Intelek MyIPO, hari ini.

Nanta menyeru lebih ramai usahawan memanfaatkan tawaran dana itu bagi memperoleh hak eksklusif ke atas jenama, reka cipta, reka bentuk dan karya yang dihasilkan mereka.

Beliau juga mahu usahawan memastikan harta intelek yang didaftarkan dieksploitasikan secara maksimum agar dapat menjana pulangan kepada usahawan seterusnya meningkatkan ekonomi domestik.

Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 adalah kesinambungan daripada sambutan menggalakkan semasa siri satu yang bermula pada 2016 hingga 2020.

Sepanjang tempoh itu, seramai 1,465 usahawan mendapat manfaat melalui pemberian dana itu.

Dalam pada itu, Nanta berkata, MyIPO telah merekodkan peningkatan permohonan harta intelek pada tahun lepas iaitu 58,079 berbanding 50,894 pada 2020.

“Daripada jumlah itu, 21,275 permohonan adalah permohonan harta intelek tempatan dengan peningkatan 5.8 peratus berbanding 2020,” katanya.

Sponsored by Egroup88

Leave comment

Your email address will not be published. Required fields are marked with *.