RM128 juta daripada empat MoU sektor agrikomoditi
KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menganggarkan unjuran perolehan dalam sektor agrikomoditi berjumlah RM128 juta melalui kerjasama antara agensi di bawahnya dan syarikat tempatan dengan pemain industri luar negara.
Berdasarkan kenyataan KPPK, unjuran itu dijangka diperoleh melalui empat memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani sempena Minggu Agrikomoditi Mampan di Malaysia Pavilion, Dubai, semalam.
Tiga MoU daripada sektor kayu-kayan adalah antara Etlingera Sdn Bhd & Aromogy Trading LCC; Etlingera Sdn Bhd & Malaccencis Sdn Bhd serta Persatuan Pengeksport Kayu Malaysia dan Sharjah Port Authority iaitu pelabuhan yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menurut KPPK, MoU membabitkan sektor kenaf pula membabitkan Kenaf Venture Global dan Kementerian Perencanaan Pembangunan Nasional Republik Indonesia (BAPENAS).
“KPPK menerusi agensi dan majlis di bawahnya, bersama-sama dengan beberapa syarikat tempatan menandatangani MoU, memorandum perjanjian (MoA), memorandum kerjasama (MoC) dan perjanjian usahasama sewaktu pelancaran Minggu Agrikomoditi Mampan itu.
“Unjuran perolehan hasil daripada empat MoU yang ditandatangani membabitkan pemain industri dalam sektor agrikomoditi adalah dianggarkan berjumlah RM128 juta,” kata kenyataan itu.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin menerusi lawatan kerja rasminya ke Ekspo Dubai turut menyaksikan majlis pertukaran MoU membabitkan syarikat berkenaan.
Sponsored by Egroup88